• UBD adakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran
UBD adakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran
story

Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian derma sumbangan daripada warga UBD kepada anak-anak yatim, balu dan juga muallaf warga UBD dan sekaligus juga penyampaian sumbangan Tabung Universiti kepada anak yatim dari empat daerah, Negara Brunei Darussalam bersempena sambutan Nuzul Al-Quran 1443H/2022M. Majlis yang diadakan di Masjid Universiti ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), UBD dengan kelolaan bersama Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat (UKKM) dan  Persatuan Mahasiswa-Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD).

Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian derma yang merupakan majlis tahunan bulan Ramadhan ini diadakan untuk memuliakan dan menghayati sambutan Nuzul Al-Quran serta bagi menggalakkan warga Islam UBD agar sentiasa beristiqamah dalam membaca Al-Quran di sepanjang bulan Ramadhan dan pada bulan-bulan yang lain bagi mmperoleh kelebihan belajar dan mengajarkan Al-Quran. Selain itu, majlis seumpama ini  juga dapat menjadi wadah ‘Pembentukan dan Pembangunan Insan Syumul’ di kalangan warga UBD yang beragama Islam bagi sama-sama menghayati pembentukan Negara Zikir. Di samping itu, ia juga sebagai pemudahcara untuk menghulur bantuan kepada yang mereka yang memerlukan khususnya di kalangan warga UBD.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia, Dr Hazri bin Haji Kifle, Naib Canselor UBD. Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia, Awang Saidai bin Haji Awang Hitam, Dekan Pelajar UBD juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1443H. Majlis ini diimarahkan lagi dengan kehadiran para pegawai utama UBD, para pensyarah, kakitangan dan mahasiswa-mahasisiwi UBD.

Majlis Khatam Al-Quran ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Ad-Dhuha yang dipimpin oleh Imam-Imam Masjid Universiti, yang kemudiannya disusuli dengan bacaan surah-surah Khatam Al-Quran beramai-ramai, serta bacaan takhtim diketuai oleh Kelab Dikir, Nasyid dan Tausyeh UBD. Manakala doa Khatam Al-Quran dibacakan oleh Imam Masjid Universiti UBD. Acara diteruskan juga dengan penyampaian sumbangan warga UBD kepada balu, muallaf dan anak yatim dikalangan warga UBD dan juga sekaligus penyampaian sumbangan Tabung Universiti untuk anak yatim dari ke-empat daerah, Negara Brunei Darussalam oleh tetamu kehormat.

Majlis ditutup dengan bacaan doa selamat oleh Imam masjid Universiti UBD.

  • UBD Video