UBD adakan Ceramah Khas Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran 1443H/2022M
story

Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1443H/2022M secara dalam talian. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), dan dikelolakan bersama Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat (UKKM) dan  Persatuan Mahasiswa-Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD).

Majlis ini merupakan majlis tahunan yang dianjurkan setiap tahun di bulan Ramadhan. Majlis Ceramah khas ini diadakan bertujuan untuk sama-sama mengetahui tentang peri pentingnya mempelajari dan mengajarkan Al-Quran dan untuk menaikkan semangat warga Islam UBD agar rajin dan istiqamah dalam membaca Al-Quran khususnya sepanjang bulan Ramadhan dan di bulan-bulan lain sepanjang tahun bagi mendapat kelebihan belajar dan mengajarkan Al-Quran, dan berfungsi sebagai wadah ‘Pembentukan dan Pembangunan Insan Syumul’ di kalangan warga UBD yang beragama Islam dalam sama-sama menghayati pembentukan Negara Zikir.

Majlis Ceramah khas bertajuk "Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya" telah disampaikan oleh Yang Mulia, Ustaz Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Ugama Kanan Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Selain diikuti oleh warga UBD, ceramah khas ini juga dibukakan kepada orang ramai bagi mereka yang berminat mendengarkan ceramah ini. Sesi soal jawab juga dibukakan bagi memberi peluang kepada yang hadir untuk mengajukan soalan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia, Doktor Hazri bin Haji Kifle, Naib Canselor UBD. Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia, Awang Saidai bin Haji Awang Hitam, Dekan Pelajar UBD yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1443H. Majlis ini juga dihadiri oleh para pegawai utama UBD, para pensyarah, kakitangan dan mahasiswa-mahasisiwi UBD.

Majlis ditutup dengan bacaan doa selamat oleh Yang Mulia, Ustaz Mohammad Dzulhilmi bin Hj Moharefandi, pegawai ugama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UBD.

  • UBD Video