UBD adakan Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah sempena sambutan Aidiladha 1443H
story

Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah sempena sambutan Aidiladha 1443H bertempat di Universiti Start-Up Centre, UBD

Majlis tahunan ini dianjurkan oleh UBD dengan kelolaan bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UBD dan Persatuan Mahasiswa-Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD). Ianya diadakan sebagai tanda memuliakan dan menyemarakkan Aidiladha di kalangan warga UBD dan bagi sama-sama menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam. Ianya juga adalah sebagai khidmat masyarakat kepada orang ramai dari pihak UBD sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan ukhwah di kalangan umat Islam warga universiti, penduduk sekitar serta masyarakat Islam luar kampus UBD.

Berdasarkan pendaftaran yang diterima, sebanyak 6 ekor lembu dan 2 ekor kambing telah dikorbankan pada tahun ini. Untuk tahun ini juga, UBD telah menggunakan perkhidmatan bekalan dan penyembelihan dari Syarikat PDS. Pada tahun ini, seramai 32 orang peserta telah menyertai Ibadah korban dan aqiqah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dr Hazri bin Haji Kifle, Naib Canselor UBD. Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan UBD semasa sesi majlis pengagihan kepada para peserta.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan diteruskan dengan pengagihan daging korban dan aqiqah kepada para peserta yang disampaikan oleh tetamu kehormat. Majlis pengagihan daging korban diadakan secara dua sesi iaitu sesi pengagihan kepada peserta dan para hadirin yang mana diadakan pada jam 2.00 petang, manakala sesi pengagihan kepada fakir miskin dibuat sejurus selesai memucang-mucang dan pembahagian dibuat. Bahagian untuk fakir miskin dihantar oleh para sukarelawan dikalangan pelajar UBD ke rumah para penerima yang telah di pilih di sekitar kawasan Kampung Rimba dan kampong-kampung yang berdekatan.

  • UBD Video