APB, UBD adakan Hari Melayu Islam Beraja UBD

Akademi Pengajian Brunei telah mengendalikan Hari Melayu Islam Beraja UBD pada 24 Oktober 2024 bersamaan 20 Rabiulakhir 1446 bertempat di Ruang Legar Perpustakaan Utama Universiti Brunei Darussalam. Bertemakan “MIB dan Pembangunan Mampan: Mengakar Nilai Tempatan, Menjulang Matlamat Global”, Hari Melayu Islam Beraja UBD turut mengetengahkan pameran dengan konsep ‘MIB dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs)’ yang disertai oleh fakulti, institut, pusat dan pejabat pentadbiran yang terdapat di Universiti Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar, Pengarah Akademi Pengajian Brunei selaku Pengerusi Majlis Hari Melayu Islam Beraja UBD. Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, yang juga berkenan memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis pada hari berkenaan.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menyahut tanggungjawab UBD melalui Akademi Pengajian Brunei dalam menanai nilai taat setia menjunjung watikah Pemasyhuran dan Titah-titah berkenaan Melayu Islam Beraja menjadi cara hidup kebruneian di UBD serta meneroka integrasi dan Melayu Islam Beraja selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Selain itu, Hari Melayu Islam Beraja UBD juga diharap dapat merealisasikan empat matlamat utamanya iaitu menyatupadukan seluruh warga UBD dalam cara kehidupan kebruneian, meningkatkan pemahaman dan penghayatan tentang asas sejarah dan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja, meneroka kaitan falsafah MIB dalam masyarakat kontemporari dan keselarasannya dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta memupuk pemikiran kritis dan dialog di kalangan warga Universiti Brunei Darussalam mengenai peranan Melayu Islam Beraja dalam pembinaan negara dan bangsa.

Majlis Hari Melayu Islam Beraja UBD turut diteruskan dengan sesi forum Melayu Islam Beraja yang menampilkan tiga orang panel dari kalangan ahli akademik dan juga mantan-mantan Pengarah Akademi Pengajian Brunei. Selain itu, beberapa aktiviti kebudayaan seperti menambat dastar dan menapih sinjang juga diadakan sebagai pendedahan kepada para pengunjung khususnya para warga universiti.

Latest DiscoverUBD

discover ubd
Discover UBD is a quarterly university magazine that covers the latest news, events and research breakthrough in the university.
Find out more

Need Help?

Contact Us